Tol Percuma Di LDP Dan Diskaun Di Lebuhraya Sprint Sempena 31 Ogos

KUALA LUMPUR – Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) sekali lagi menyediakan ‘hadiah’ istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini apabila mengumumkan laluan tol percuma kepada semua kelas kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sepanjang hari 31 Ogos ini.

LITRAK melalui kenyataan hari ini berkata tol percuma itu akan berkuat kuasa selama 24 jam bermula 12 tengah malam 31 Ogos ini hingga tengah malam keesokannya.

Selain itu, LITRAK juga mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 20 sen bagi tempoh 24 jam yang sama kepada semua pengguna Lebuhraya SPRINT.

“Langkah ini merupakan inisiatif untuk berkongsi kegembiraan,” menurut kenyataan itu merujuk kepada sambutan bagi mengenang sejarah kemerdekaan negara ini.

LITRAK adalah pengendali Lebuhraya LDP dan Lebuhraya SPRINT.

Menurut kenyataan itu bagi sambutan berkenaan sebanyak 410,642 pengguna Lebuhraya LDP bakal menikmati laluan tol percuma itu membabitkan nilai subsidi RM868,248 manakala 156,357 pengguna SPRINT menikmati diskaun tol sebanyak RM31,071.

LITRAK berkata sejak tahun 2010 hingga 2016, pengendali lebuh raya itu memperuntukkan insentif sebanyak RM4.59 juta bagi tol percuma kepda pengguna LDP manakala pengguna Lebuhraya SPRINT mendapat diskaun tol sebanyak RM164,706 sempena sambutan 31 Ogos. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.