PATI Menyamar Sebagai Peneroka FELDA Ditahan

KEMAMAN – SERAMAI 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu dalam Op Ikrar di Kemaman, semalam.

Semua PATI berusia antara 22 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumah sewa dan kongsi di sekitar ladang Kertih 1 dan Kertih 4 antara 9 pagi semalam hingga 6 pagi hari ini.

PATI lelaki membabitkan dua rakyat Vietnam dan selebihnya Indonesia ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk berada di negeri ini.

Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Md Awal Ludin Mohd Ali dilakukan berdasarkan maklumat penduduk yang kurang selesa dengan kehadiran ramai pati di penempatan Felda berkenaan.

Dalam serbuan itu, ada PATI yang cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam siling rumah namun gagal apabila tindakan itu dapat dihidu pihak berkuasa.

Pemeriksaan awal mendapati ada PATI menyamar sebagai peneroka bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah JIM Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, pihaknya terus menggempur kawasan penempatan PATI di seluruh negeri.

“Semua PATI dibawa ke Depoh Tahanan Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut,” katanya. – HARIAN METRO

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.