Keuntungan Sebelum Cukai Felda Global Ventures Naik Kepada RM55.974 Juta

KUALA LUMPUR – Keuntungan sebelum cukai Felda Global Ventures Holdings Bhd bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2017 melonjak kepada RM55.974 juta berbanding RM41.515 juta seperti yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan itu diraih melalui peningkatan hasil sebanyak RM8.547 bilion berpunca daripada pertambahan dalam pendapatan terakru daripada sektor perladangan, logistik dan bahagian lain daripada RM7.895 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Sektor perladangan mencatatkan keuntungan sebanyak RM148 juta dalam separuh pertama 2017 berbanding dengan kerugian berjumlah RM9.69 juta yang direkodkan sebelum ini, berikutan kenaikan harga termasuk hasil keluaran yang lebih baik dan penurunan dalam kos pengeluaran bagi minyak sawit mentah.

Keputusan yang positif ini, bagaimanapun, diimbangi sebahagiannya oleh kerugian dalam sektor gula disebabkan kenaikan kos gula mentah, kerugian dalam susut nilai boleh terima sebanyak RM47.62 juta dan peruntukan untuk kerugian litigasi sebanyak RM32.84 juta yang diiktiraf dalam sektor perladangan pada suku sebelumnya.

“Caj nilai perjanjian pajakan tanah juga bertambah sebanyak 18 peratus kepada RM121 juta berbanding dengan separuh pertama 2016,” kata FGV. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.