KTMB Lanjut Pperasi Tren Sempena Penutup KL2017

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan KTM Komuter sempena acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ia bagi menjadikan komuter sebagai alternatif kemudahan pengangkutan kepada pengunjung acara berkenaan.

Unit Komunikasi Korporat KTMB dalam satu kenyataan menyebut, satu tren tambahan akan disediakan di empat laluan KTM masing-masing bagi Serdang-Batu Caves pada jam 12.37 tengah malam, Putra-Seremban (jam 1.20 pagi), KL Sentral-Rawang (jam 1.30 pagi) dan Putra-Pelabuhan Klang (jam 1.44 pagi).

Katanya, enam stesen iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Sungai Buloh dan Subang Jaya akan dibuka sehingga operasi tren tambahan tamat.

“Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter boleh membuat pertukaran tren di stesen KTM Bandar Tasik Selatan dan menyambung perjalanan dengan LRT untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Pengguna digalak menggunakan Kad Komuter Link atau Touch’n Go Sdn Bhd (TNG) bagi memastikan tidak perlu beratur di kaunter tiket, sekali gus menjamin kelancaran perjalanan khususnya pada waktu pulang,” katanya.

Selain itu, katanya, pengguna perlu menambah nilai Kad Komuter Link minimum RM5 untuk mengaktifkan kad berkenaan yang diterima percuma pada 16 Ogos lalu hingga 16 September ini.

“Kad Komuter Link boleh diperoleh di semua kaunter tiket perkhidmatan KTM Komuter.

“Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2266 1200, layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau Twitter @ktm_berhad,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.