Suami Isteri Dituduh Tipu Tuntutan GST

IPOH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM745,838 daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Loo Peng Wah, 50 dan isterinya, Ng Lee Foon, 45, yang masing-masing tidak bekerja dituduh melakukan kesalahan itu antara Oktober 2015 hingga Mei 2016.

Peng Wah didakwa atas tujuh pertuduhan yang dilakukan antara Oktober 2015 hingga April 2016 membabitkan tuntutan keseluruhan berjumlah RM478,715 manakala Lee Foon didakwa atas empat pertuduhan berjumlah RM267,123 yang dilakukan antara Januari 2016 hingga Mei 2016.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di pejabat JKDM Ipoh, Jalan Tun Razak di sini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 89(1)(b) Akta GST 2016 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum 20 kali ganda jumlah amaun cukai atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama atau denda maksimum 40 kali ganda amaun cukai atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JKDM, S Thanaganatchya di hadapan Hakim, S Indra Nehru manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Awtar Singh.

Akhbar hari ini melaporkan, pasangan suami isteri berkenaan dipercayai dalang utama penipuan tuntutan pulang balik GST berjumlah RM25.58 juta.

Peng Wah ditahan di Ipoh pada 25 Ogos lalu, manakala Lee Foon ditahan di Kuala Lumpur pada 27 Ogos. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.