6 Keluarga Dipindahkan Akibat Banjir

BANDAR BAHARU: Sekurang-kurangnya 100 penduduk di tujuh lokasi sekitar daerah ini terjejas apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat malam tadi.

Difahamkan lebih 30 rumah dinaiki banjir susulan hujan lebat, dengan enam keluarga dari Kampung Sungai Tepus, dekat sini, diarah berpindah.

Selain Kampung Sungai Tepus, kawasan lain terjejas ialah Taman Cahaya Nilam di Parit Nibong, Kampung Permatang Pasir, Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Kampung Tebuk Mat Rasid dan Perumahan Awam 1 dan 2.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini, berkata enam keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kecil Ulu, dekat sini.

“Paras air mula meningkat kira-kira jam 7 malam dan hasil pemantauan dilakukan di kawasan terbabit, pihak kami menasihati penghuni yang berisiko supaya pindah ke pusat pemindahan sementara.

Hingga tengah malam tadi enam keluarga membabitkan 37 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dan pihak berkuasa terus memantau keadaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.