Daging Kicap Untuk Anak

KLANG: Makan nasi berlaukkan telur goreng sudah menjadi kebiasaan buat Zuhaida Zakaria dan lima anaknya selepas suaminya dihukum penjara.

Justeru, pemberian daging korban oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) begitu bermakna untuknya kerana dapat menyediakan lauk berbeza buat anak-anaknya.

“Saya sangat bersyukur dengan pemberian daging ini. Boleh saya masak daging kicap atau kari daging untuk anak-anak.

“Biasanya, saya hidangkan nasi dengan telur goreng saja akibat kekangan kewangan selepas suami tiada.

“Pendapatan daripada meniaga pakaian di pasar malam sekitar Kapar tidak banyak, lebih-lebih lagi musim hujan, tak boleh berniaga. Saya terpaksa berjimat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perepat, Kapar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas suaminya dipenjara, kehidupan mereka sekeluarga terumbang-ambing kerana kehilangan tunggak utama yang mencari rezeki untuk keluarga.

Sementara itu, LZS dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Triplc Berhad menyumbangkan tujuh ekor lembu korban menerusi Program Korban Perdana 2017 dan ‘Journey to Jannah’ bersama pembayar zakat.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa; Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali; Pengarah LHDN Cawangan Klang, Sazali Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Triplc Berhad, Datuk Yusof Badawi.

Selain agihan zakat kepada penduduk yang layak, sebanyak 10 keluarga fakir miskin di sekitar Kapar, termasuk keluarga Zuhaida, menerima daging korban serta bantuan makanan asas bulanan seperti beras, tepung dan biskut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.