Masuk ICU Lepas Minum Air Omum

SINGAPURA: Seorang pengurus operasi, Gunalan Perumal kerap mengambil air omum bagi melegakan ketidakselesaan perut.

Bagaimanapun, selepas lelaki yang berusia 55 tahun itu minum air tersebut pada 3 Ogos lalu bagi merawat masalah penghadaman, dia dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Awam Singapura untuk tiga hari dengan kecederaan dan bengkak di sekitar mulut dan tekak.

Siasatan awal oleh Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) mendapati Air Omum Sri Ambikkas yang diambil mangsa mengandungi nilai pH lebih daripada 13 iaitu sama dengan jumlah yang ditemukan dalam peluntur klorin.

Produk tersebut sepatutnya mempunyai nilai pH neutral iaitu antara 7.4 hingga 7.9, kata HSA pada 10 Ogos lalu selepas membuat ujian ke atas sampel air itu.

“Kandungan alkali yang tinggi mungki mendatangkan tindak balas bahaya termasuk menyebabkan tisu badan terbakar,” katanya sambil menambah tiada racun atau dadah ditemukan dalam sampel asli air berkenaan.

Pihak pengimport telah menghentikan jualan ke atas produk tersebut dan peniaga yang menjual minuman botol itu turut melakukan perkara sama.

Pihak berkuasa berkata, kes berkenaan merupakan kes terpencil dan tiada laporan lain dibuat berhubung kejadian serupa.

Punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.- The Straits Times/Asia News Network

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.