Mati Dipukul Kerana Pecahkan Belon

JOHOR BAHRU: Angkara memecahkan belon dan menarik kain rentang gerai pameran sebuah hotel dekat Stulang Laut di sini, seorang eksekutif pemasaran dipukul sehingga mati oleh urusetia program berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, mangsa yang dipukul dilaporkan mengalami kecederaan parah pada muka sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan pada jam 5 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis I Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Rupeah Abdul Wahid, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian memukul hingga menyebabkan kecederaan parah pada mangsa pada jam 10 pagi semalam.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah hotel di Stulang Laut di sini membabitkan lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran.

“Kejadian berlaku pada jam 9.30 malam, apabila mangsa dan rakannya yang selesai minum di sebuah pub di kawasan Stulang, beredar ke tempat letak kenderaan di tingkat lima hotel berkenaan.

“Ketika melalui kaki lima hadapan bilik pameran yang disewa bagi tujuan program promosi pelancongan, mangsa bertindak memecahkan beberapa belon yang digantung pada tepi pintu bilik, selain menarik kain rentang yang dipasang bagi acara itu.

“Perbuatan itu disedari suspek yang kebetulan sedang minum di lokasi berdekatan, sebelum menjerit kepada mangsa hingga tercetus pertengkaran. Suspek kemudian menumbuk muka mangsa beberapa kali hingga menyebabkan kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rupeah berkata, suspek berusia 40 tahun itu didapati seorang daripada urusetia yang terbabit dalam program yang dianjurkan hotel berkenaan.

Beliau berkata, susulan kematian mangsa, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.