Pameran ‘Jalan Merdeka’ Di Carcosa Seri Negara

KUALA LUMPUR – Perjalanan negara untuk mencapai kemerdekaan kini boleh dihayati di Carcosa Seri Negara di sini yang menjadi tuan rumah pameran ‘Jalan Merdeka: Melewati Laluan Merdeka’, anjuran Asian Heritage Museum (AHM).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pameran itu antara lain menampilkan artifak serta gambar-gambar peristiwa bersejarah menjelang 31 Ogos 1957.

“Bangunan ini (Carcosa) sendiri merupakan bangunan bersejarah. Di sinilah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 1948 dan 1957 yang membuka laluan ke arah kemerdekaan negara. Berikutan minat saya dalam sejarah, saya pernah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif AHM Sdn Bhd K. K Tan untuk mengadakan pameran ini di sini pada 2008.

“Usaha itu tidak kesampaian. Namun kini, sebagai menteri (yang turut bertanggungjawab terhadap Carcosa), saya dapat membantu AHM menyewa Carcosa bagi menganjurkan pameran ‘Jalan Merdeka’ selama tiga tahun,” katanya pada sidang media selepas melawat pameran itu, hari ini.

AHM diberi hak menyewa dan menjaga Carcosa oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah dan Tanah Galian Persekutuan yang terletak di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sejak Mac tahun ini bagi menubuhkan muzium warisan di bangunan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.