Swm Edar Tong Sampah Beroda Kepada Penduduk Felda Palong 4, 5, 6

GEMAS – Syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd (SWM) hari ini meneruskan pengedaran tong sampah kepada penduduk di Felda Palong 4, 5 dan 6 dekat sini bagi memastikan perkhidmatan syarikat itu dapat dilakukan dengan lebih sistematik dan cekap.

Pengurus Wilayah SWM Negeri Sembilan dan Melaka Dr Al Ashari Othman berkata sejumlah 110 unit tong sampah beroda berkapasiti 120 liter dan lapan unit tong sampah beroda berkapasiti 1,100 liter diedarkan di sekitar kawasan itu bagi kemudahan pengusaha perniagaan dan penduduk.

“Lokasi peletakan tong sampah berkapasiti 1,100 liter adalah di Dewan Orang Ramai Felda Palong 4, 5 dan 6 sebanyak satu unit, pasar awam Felda Palong 4, 5 dan 6 (dua unit) dan kedai D Mart (satu unit). Manakala bagi tong roro pula diletakkan di Pasar Tani Felda Palong 4, 5 dan 6 (satu unit),” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Katanya penyeragaman tong sampah beroda adalah tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Perbersihan Awam 2007 (Akta 672).

Katanya tong sampah beroda yang diberikan secara percuma dapat mengurangkan risiko lelehan air sampah ketika kerja-kerja kutipan sampah dilaksanakan selain dapat mengelakkan haiwan liar menyelongkar sampah. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.