Tiada Lembaga Pengarah Wanita, Tak Ada Kontrak – PM

KUALA LUMPUR: Tahap kejayaan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini lebih baik daripada kebanyakan negara lain di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, antara kayu ukur kejayaan wanita di negara ini dapat dilihat menerusi penglibatan dan sumbangan mereka dalam sektor ekonomi.

Katanya, kira-kira 700,000 wanita Malaysia berada dalam sektor tenaga kerja yang memberi impak 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dalam bidang pendidikan pula enrolmen dalam IPTA meningkat daripada 62.5 peratus pada 2011 kepada 64 peratus pada 2015 manakala dalam bidang pengajian peringkat PhD (doktor falsafah) pada 2011 sebanyak 43.1 peratus berbanding 44.8 peratus pada 2013.

“Ini jelas memperlihat kedudukan wanita dalam pendidikan begitu kukuh dan mantap sehingga timbul persoalan ‘what has happened to men’ (apa yang telah terjadi pada lelaki),” katanya dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2017 di sini, Isnin.

Najib berkata, dari segi kepimpinan di dalam sektor awam, terdapat 35 peratus penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan wanita di negara ini adalah berdasarkan merit dan bukannya kerana simpati daripada kerajaan.

Dalam sektor korporat, perdana menteri berkata sebanyak 16.8 peratus wanita berada dalam pengurusan di syarikat tersenarai awam (PLC).

“Tapi kita nak capai 30 peratus sasaran (wanita dalam pengurusan PLC). Saya dah beri amaran pada tahun depan kita (kerajaan) akan terbitkan (nama syarikat) yang tidak ada wanita dalam lembaga pengarah. Mereka mungkin tidak boleh diberi kontrak kerajaan,” katanya.

Pada sesi dialog yang dikendalikan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Najib turut mendengar aspirasi diutarakan 18 wanita daripada pelbagai latar belakang.

Antara aspirasi berkenaan adalah mahukan kerajaan mempertimbangkan lebih ramai wanita bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri dan mengimpikan pembinaan sebuah bangunan ikonik yang direka arkitek dan dibina jurutera wanita.

Selain itu, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan infrastruktur yang mesra golongan itu, mewujudkan sistem pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas, membantu ibu tunggal menyelesaikan dilema hutang dilakukan bekas suami serta menghantar wanita berkelayakan mengikuti kursus di Harvard Business School untuk mampu mengemudi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri dalam sesi rumusan berkata, beliau mengambil maklum semua pandangan yang diberikan menerusi dialog itu.

“Kita mengambil kira (pandangan) tapi saya nak peserta dialog TN50 lebih fokus kepada soal dasar dalam menentukan hala tuju negara.

“Kita ingin menuju ke arah 30 tahun akan datang untuk menjadi 20 negara terbaik di dunia,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, kerajaan komited untuk berusaha meningkatkan pencapaian wanita termasuk memastikan kesaksamaan peluang dalam pelbagai bidang antara wanita dan lelaki. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.