Ujian Sampel Terbaru Haiwan Negatif Virus Rabies – Uggah

KUCHING – Sampel terbaru haiwan yang dihantar untuk ujian ke Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh mendapati semuanya negatif virus penyakit anjing gila atau rabies, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata sampel itu diambil di Serian, Kuching, Sri Aman, Lundu, Tebedu, Lubuk Antu, Batu Lintang, Mongkos dan Serikin dan dihantar ke institut itu untuk ujian baru-baru ini.

“Strategi kerajaan pada ketika ini adalah untuk mewujudkan zon penampan khususnya di sepanjang kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan Barat untuk mengawal penyebaran penyakit itu dan kami sedang memantau rapi situasi haiwan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen ke-12 Institut Pertanian Sarawak (IPS) di sini, hari ini.

Katanya Jabatan Veterinar Sarawak akan terus mengambil sampel haiwan khususnya di bandar dan kampung di sepanjang sempadan dan menghantarnya ke Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh untuk menentukan punca penyebaran rabies.

“Walaupun keputusan semua sampel yang dihantar untuk ujian adalah negatif, kami masih tidak berpuas hati kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ia memerlukan dua tahun untuk memastikan negeri ini bebas rabies,” kata Uggah. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.