Cuti Aidiladha Terakhir Nur Hidayah

JEMPOL: “Saya dan isteri tidak menyangka kepulangannya menyambut Aidiladha bersama kami kali ini adalah yang terakhir,” kata Basiron Sulaiman, 54.

Anaknya, Nur Hidayah, 21, maut akibat parah pada kepala dan badan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu abangnya, Muhammad Amirul, 23, terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar Bukit Rokan, di sini, jam 4.50 petang, semalam.

Penuntut Ijazah Sains Pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3 itu, meninggal dunia di tempat kejadian apabila MPV terbabit terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali.

Basiron berkata, walaupun sedih dengan pemergian anak kedua daripada empat beradik itu, mereka berpuas hati dapat menunaikan permintaan terakhirnya untuk menyambut Aidiladha di rumah sendiri di Taman Desa Permai, Serting Tengah di sini.

“Rumah itu saya beli 18 tahun lalu, namun kami tidak tinggal di sana kerana menetap di kuarters guru di Pusat Bandar Palong kerana isteri saya Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perpatih, FELDA Palong Empat.

“Beberapa bulan lalu, saya mengubah suai rumah berkenaan dan bersyukur kami sempat menyambut Aidiladha bersama-sama di situ seperti yang kerap disebut Nur Hidayah sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Jempol, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika Nur Hidayah dan Muhammad Amirul yang juga abang sulungnya, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar adik mereka, Muhammad Aminuddin,16, ke Kolej Vokasional Jasin.

Dalam kejadian itu, Muhammad Amirul cedera ringan dan dirawat di Hospital Jempol.

Basiron berkata, arwah sangat mengambil berat mengenai pelajaran dua adiknya, malah menggunakan kesempatan ketika cuti membantu adiknya menyiapkan tugasan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan, berkata kemalangan berhampiran FELDA Bukit Rokan Barat itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.