Video Bella Minta Izin Kahwin Viral

KUALA LUMPUR: Spekulasi pernikahan pelakon filem Surga Tak Dirindukan, Laudya Cynthia Bella dengan bekas suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin, yang dijangka berlangsung pertengahan bulan ini, makin hangat diperkatakan.

Ini berikutan rakaman video memaparkan aksi Bella meminta izin bernikah daripada ibu bapanya, menjadi viral di laman sosial, sejak semalam.

Dalam video berdurasi lebih 60 saat itu, pelakon berusia 29 tahun itu dilihat duduk di hadapan ibu bapanya.

Dalam rakaman itu, antara lain Bella didengar meluahkan:”Hati dan cinta Bella, tetap untuk keluarga dan terima kasih untuk semuanya,” katanya sambil terus berkucupan dengan kedua orang tuanya.

Foto momen cukup emosional itu turut dikongsi aktress berkenaan pada akaun instagram.

Dalam foto yang dikongsi, Bella turut menyelitkan gambar surah Yasin yang tertera ‘BE’ dipercayai merujuk kepada namanya dan Emran.

Bella turut meluahkan isi hatinya dalam perkongsian itu.

“One step closer to the happiness. Ini ‘part of best moment in my life’, proses yang begitu cepat. Saya percaya dengan ‘takdir’,” tulisnya.

Bella menambah, proses hidup yang dijalani adalah takdir dan rencana yang dituliskan Allah.

“Saya boleh berencana tapi Allah yang menentukan. Ini adalah perjalanan hidup saya yang Allah atur. Proses demi proses selalu saya syukuri dan nikmati… Terimakasih ya Allah,” katanya.

Jika Bella kelihatan semakin terbuka dengan majlis pernikahannya, Emran pula sehingga hari ini tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Kedua-dua personaliti itu mula menjalin hubungan beberapa bulan lalu selepas dikatakan diperkenalkan pelakon, Nora Danish.

Tidak mengambil masa yang lama untuk bercinta, pasangan yang berbeza jarak usia 13 tahun itu akhirnya dilaporkan memilih untuk disatukan, bulan ini.

Majlis itu dijangka berlangsung secara tertutup. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.