Zara Zya Dianggap Jahat Gara-gara Warnakan Rambut

KUALA LUMPUR: Pelakon Zara Zya, 32, kesal apabila dilabel sebagai wanita jahat gara-gara mewarnakan rambut.

Zara atau nama penuhnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin menyifatkan mereka yang membuat andaian itu mempunyai masalah hati.

“Hanya kerana mewarnakan rambut, saya dianggap sebagai wanita jahat. Saya hanya mampu tersenyum. Bersihkan hati,” luah Zara dalam Instagram, semalam.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian, Love You Mr Arrogant juga mengakui terkejut apabila segelintir individu tidak bertanggungjawab sanggup membuka akaun Instagram palsu semata-mata untuk mengkritik penampilannya.

“Fitnah bertubi-tubi. Ada yang bercakap saya lakukan pembedahan hidung dan muka. Sila berjumpa secara berdepan untuk pastikan sama ada wajah saya asli atau sebaliknya,” katanya.

Zara berkata, selain tidak berhak mengkritiknya tanpa sebab, netizen juga tidak sewajarnya menentukan apa yang perlu dilakukannya dalam hidup.

Baginya, mereka tidak mengetahui apa yang dilaluinya dalam kehidupan harian.

“Anda (netizen) tiada hak menentukan hidup saya mahupun manusia lain. Lebih baik tentukan hidup sendiri yang belum tentu lagi lurus jalannya,” tegas Zara.

Sejak mewarnakan rambutnya beberapa minggu lalu, Zara menerima pelbagai komen termasuk reaksi negatif yang menyifatkan penampilan terbarunya memberikan imej kurang elok terhadap wanita.

Ekoran komen negatif yang diterimanya, Zara memuat naik status itu dan ia mendapat reaksi ramai pengikut mencecah 10,000 Likes.

Zara juga menerima kata semangat supaya tidak ambil hati dengan kritikan orang ramai. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.