Dugaan Bertunang Kuat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sufian Suhaimi mengaku kritikan netizen memberi tekanan kepadanya yang akan mengikat pertunangan dengan pelakon, Elfira Loy pada 6 Oktober depan.

Sufian yang popular dengan lagu Terakhir memberitahu, dia cuba bersabar dan berfikiran positif biarpun tidak habis-habis dilempar kritikan berbaur negatif.

Mengaku ujian sepanjang tempoh pertunangan lebih kuat, Sufian berharap peminat berdoa dia dan Elfira melangkah ke jenjang pelamin.

“Ramai cakap ujian ketika bertunang cukup kuat. Namun, sebelum bertunang dan ketika merisik pun saya sudah menerima pelbagai kritikan netizen hingga agak tertekan.

“Namun, saya ambil semua itu dengan positif. Saya cuba hadapinya dengan sabar kerana tahu ujian dalam tempoh pertunangan lebih mencabar,” katanya ditemui pada majlis ulang tahun ke-10 dan pembukaan cawangan terbaharu Restoran Seoul Garden di Melawati Mall, dekat sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, Sufian mengumumkan bakal bertunang dengan Elfira, 23, di kediaman keluarganya di Cheras, pada 6 Oktober depan.

Sufian berkata, keluarga kedua-dua pihak tidak menetapkan tempoh pertunangan.

“Insya-Allah, kalau ada jodoh, mungkin tahun depan akan melangsungkan perkahwinan. Saya tidak mahu meletakkan tempoh berapa lama bertunang kerana ia akan memberi tekanan. Lebih cepat (berkahwin), lagi bagus.

“Sekarang saya masih dalam proses menamatkan pengajian yang tertangguh akibat komitmen seni. Kalau ditakdirkan jodoh kami dalam tempoh terdekat, kami akan melangsungkan majlis perkahwinan,” katanya yang dalam proses menyiapkan album mini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.