Generasi Kedua Felda Lega Dapat Lot Tanah Rumah

KUALA BERANG – “Kami lega dan gembira dengan perkembangan positif mengenai pemilikan lot tanah untuk generasi kedua Felda Bukit Bading kerana itulah perjuangan kami sejak beberapa tahun lalu,” kata Mohd Khairudin Sabri, 34.

Beliau adalah antara 450 generasi kedua di tanah rancangan itu yang memohon untuk memiliki tapak tanah untuk mendirikan rumah sendiri.

“Sebenarnya, permohonan ini sudah bermula sejak tahun 2002 di mana cadangan asal ketika itu ialah memohon rumah teres sebanyak 50 unit untuk generasi kedua Felda Bukit Bading.

“Namun, hasil perbincangan pengurusan tertinggi Felda dan kerajaan, akhirnya mereka bersetuju untuk mengagihkan 130 lot tapak tanah dahulu untuk fasa pertama dan baki 320 lot akan diagihkan secara berperingkat selepas itu,\” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pemohon tanah generasi kedua Felda Bukit Bading yang turut dihadiri oleh Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.