Jemaah Haji Dijangka Tiba Di Tanah Air Esok

MAKKAH – Kumpulan pertama jemaah Malaysia yang baru selesai menunaikan ibadah haji, selamat berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah pada kira-kira 2.30 petang waktu tempatan (kira-kira 7.30 malam waktu Malaysia), Rabu.

Kesemua 420 jemaah, yang berlepas menggunakan pesawat XY9003 itu, dijangka tiba di tanah air kira-kira 3.30 pagi Khamis.

Untuk memudahkan urusan mereka bertolak ke Jeddah dari Tanah Suci Makkah, jemaah haji  Malaysia telah melakukan penghantaran beg untuk proses daftar masuk di maktab penginapan masing-masing bagi mengelak kesesakan atau masalah di lapangan terbang.

Jemaah hanya membawa beg seberat lima kilogram yang dibekalkan Lembaga Tabung Haji menaiki pesawat. Beg-beg besar mereka diangkut dengan lori ke lapangan terbang.

Bagi jemaah yang menaiki penerbangan terus ke Jeddah seterusnya ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, sebelum ini, mereka sudah mula bertolak ke Madinah semalam, bagi program ziarah dan ibadat di Masjid Nabawi.

Selain Jeddah, jemaah haji yang berada di Madinah akan berangkat pulang ke tanah air melalui terminal haji Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz Madinah.

Penerbangan terakhir kumpulan jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air dari Jeddah dan Madinah, dijangka pada 4 Okt ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.