UTC Seremban Mula Operasi Tahun Depan

SEREMBAN: Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di negeri ini dijangka memulakan operasinya di Plaza Angsana, Ampangan, di sini, awal tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bangunan itu sedang diubah suai dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Katanya, UTC itu dibina di Ampangan berikutan lokasinya strategik sekali gus memudahkan orang ramai berurusan.

“Bangunan ini akan menempatkan pelbagai pejabat jabatan dan agensi kerajaan yang membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan awam dengan mudah secara berpusat di satu lokasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, projek kerajaan persekutuan itu sebahagian pelan transformasi negara (UTP) bagi kemudahan bersama.

Sementara itu, beliau berkata Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Rembau, dekat sini, yang dibuka tahun lalu, menerima sambutan menggalakkan orang ramai, malah ada yang datang dari Melaka untuk berurusan.

Katanya, sehubungan itu kerajaan negeri merancang membina RTC kedua di Serting, Jempol, dekat sini tidak lama lagi.

“Jelas sekali RTC ini memudahkan penduduk untuk berurusan tanpa perlu datang ke Seremban,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.