Wanita Maut Tercampak Dari Lori

BAGAN SERAI: Seorang wanita maut akibat tercampak selepas lori dinaiki merempuh belakang sebuah lori kontena di Kilometer 177.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.53 pagi itu, mangsa, Nur Hazwani Zahari, 31, dari Gurun, Kedah difahamkan menaiki kenderaan yang dipandu rakan lelakinya itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati lori dipandu rakan lelaki mangsa itu dikatakan gagal memotong lori kontena di hadapan sehingga menyebabkannya melanggar bahagian sisi kanan lori kontena berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang difahamkan berada di bahagian tempat duduk penumpang tercampak keluar dari lori.

“Mangsa bagaimanapun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba manakala pemandu lori dan lori kontena tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.