FGV Perjelas Kenyataan Tidak Tepat

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) hari ini menjelaskan beberapa kenyataan tidak tepat yang diterbitkan oleh sebuah akhbar perniagaan mingguan tempatan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata bekas Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, tidak terbabit dalam melulus atau melaksanakan proses pembayaran Safitex Trading LLC.

FGV berkata, tidak ada satu pun kelulusan dan urus niaga berkaitan Safitex Trading mempunyai tanda tangan Emir atau membuat sebarang rujukan kepadanya.

Kumpulan itu juga menjelaskan keputusan untuk memansuhkan cadangan pembelian 55 peratus pegangan dalam syarikat minyak makan China, Zhong Ling Nutril-Oil Holdings Ltd, bukan dibuat oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad.

FGV berkata, ia disebabkan oleh syarat-syarat terdahulu (CP) dalam perjanjian jual dan beli yang tidak dapat dipenuhi dalam tarikh penyelesaian CP dan tidak dikecualikan.

“Lembaga memutuskan untuk membuat pengumuman mengenai perkara di atas pada 8 April, 2016. Pada Februari 2017, satu lagi cadangan untuk bekerjasama dengan Zhong Ling berkaitan anak syarikat FGV di China dimulakan oleh satu jawatankuasa kerja di bawah pimpinan Zakaria tetapi dibatalkan disebabkan oleh isu-isu pembiayaan,” kata kumpulan itu.

Mengenai langkah FGV tidak meneruskan urus niaga pembelian pegangan dalam PT Eagle High Plantations, kumpulan itu berkata, ia bukan keputusan yang diambil oleh Zakaria. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.