Kerajaan Dengar `Suara’ Mahasiswa – TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa meraikan dan mendengar perbezaan pendapat dalam pelbagai isu yang sering dilontarkan mahasiswa di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan mencari intipati terbaik daripada setiap pandangan dan cadangan yang diberikan bagi merumus serta mencari titik persamaan.

“Dalam setiap perbezaan pendapat itulah kita perlu mencari intipati yang boleh diketengahkan kepenggunaannya. Zaman atau era kerajaan betul atau tahu semua sudah berlalu.

“Bagaimanapun, dalam meraikan perbezaan pendapat itu, tidak semestinya kita mempunyai percanggahan pemikiran, sebaliknya haruslah ada kebijaksanaan dan ketertiban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2017 yang dipengerusikannya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahmad Zahid berkata, susulan mesyuarat MPPK yang lalu, antara tindakan diambil kerajaan adalah penekanan kepada aspek kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa demi pembentukan komuniti penyayang.

“Kerana itu, program Gap Year ditawarkan kepada mahasiswa bermula tahun ini bagi melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

“Program ini dijalankan dalam tempoh masa satu tahun bagi pelajar membuat refleksi dan penerokaan diri menerusi program kesukarelawanan, keusahawanan, bersukan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam usaha membantu masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak mempelajari kemahiran, GiatMARA melakukan kajian rasionalisasi terhadap penawaran kursus di dua negeri itu bagi memberi kemudahan akses latihan selaras keperluan setempat.

“Program pengembangan kerjaya dan laluan peningkatan kemahiran di GiatMARA juga dilaksanakan secara kerjasama dengan pelbagai industri dan institusi latihan kemahiran.

“GiatMARA beroperasi di 31 kawasan Parlimen di Sarawak dan 27 kawasan Parlimen di Sabah. Ini membolehkan masyarakat setempat memanfaatkan penawaran latihan kemahiran,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.