Tahanan Ada Kunci Pendua Gari Bolos

GEORGETOWN: Seorang tahanan yang dipercayai mempunyai kunci pendua gari melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Georgetown di sini petang semalam.

Hasil siasatan polis mendapati lelaki terbabit yang dikenali sebagai Khairul Nizam Abdullah Sani, 33, dan seorang rakannya menggunakan kunci pendua untuk membuka gari berantai yang dikenakan pada mereka bersama 27 tahanan lain.

Bagaimanapun, rakan lelaki terbabit berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi mereka melarikan diri mananaka Khairul Nizam masih diburu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata Khairul Nizam dipercayai melarikan diri ketika diiring masuk ke trak polis bersama tahanan lain, kira-kira jam 5.20 petang Rabu.

“Semua 29 tertuduh itu digari dengan tiga set gari berantai, namun kedua-dua mereka dipercayai mempunyai kunci pendua untuk membuka gari berkenaan.

“Hasil siasatan polis ke atas semua tahanan mendapati, Khairul Nizam membuang kunci pendua itu ke dalam longkang dan apabila kita menjumpai kunci itu, ia adalah berlainan dengan kunci polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan tertuduh yang berasal dari Jalan Siam, di sini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.