Tuntutan Ke Atas Sabah Tidak Sah

PENAMPANG: Semakin ramai orang berminat mengetahui secara mendalam isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata beliau menerima maklum balas khususnya daripada penduduk Sabah mahu pelbagai sumber rujukan termasuk menerusi buku tulisannya, ‘Putting To Rest The Claim To Sabah’.

Abdul Gani berkata, beliau mula menulis buku itu selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada Februari 2013 dan mengambil kira-kira setahun untuk disiapkan.

Katanya, buku berkenaan yang merangkumi tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah, mula diterbitkan pada tahun 2013 hasil kerjasama Institut Terjemahan Buku Negara dan Razak School of Government.

Beliau berkata, buku itu menjelaskan sebab tuntutan pihak tertentu di Filipina terhadap negeri Sabah tidak sah.

“Saya mendapat maklum balas semakin ramai penduduk Sabah kini berminat mengetahui mengenai tuntutan Filipina ke atas Sabah. Buku ini antara lain saya hasilkan bagi memberi kefahaman kepada orang ramai berkenaan isu ini.

“Kita tidak boleh membiarkan orang ramai terus keliru dengan persoalan sama ada Sabah dimiliki oleh Filipina dan saya gembira ramai semakin ramai berminat untuk lebih mendalami dan memcari jawapan sebenar mengenai perkara ini,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani buku berkenaan, di sini, hari ini.

Abdul Gani berkata, ‘Putting To Rest The Claim To Sabah’ juga mengandungi tulisan berkenaan kedudukan Malaysia dalam konteks undang-undang antarabangsa.

“Ketika masih Peguam Negara, kami mempunyai pelbagai dokumen sebagai persediaan sekiranya Filipina mahu menuntut Sabah. Apabila Wisma Putra meminta menghasilkan buku ini, kami sudah bersedia untuk memberikan penerangan secara terperinci,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.