Ayam Segar RM1 Seekor Jadi Rebutan

SUNGAI PETANI: Demi ayam segar yang dijual pada harga hanya RM1 seekor, orang ramai berhimpun seawal jam 6.30 pagi untuk mendapatkan stok terhad ayam terbabit.

Tawaran istimewa itu disediakan Ayam Bismi sempena pembukaan cawangan baharu syarikat milik Bumiputera berkenaan di Taman Pekan Baru di sini, menggantikan cawangan di Sungai Lalang.

Sambutan luar biasa itu menyebabkan stok 100 ayam dengan harga istimewa RM1 habis dijual dalam tempoh sejam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bismi, Mazlina Kamarudin, berkata pihaknya tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan apabila lebih 300 orang mula beratur sejam sebelum jualan bermula pada jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, ayam berkenaan bersaiz besar seberat kira-kira 2.9 kilogram (kg) yang biasanya bernilai RM20 ke atas di pasaran.

Katanya, jualan murah itu adalah sebahagian daripada program ‘Huluran Sayang’ dijalankan pihaknya bagi membantu orang awam mendapatkan ayam segar pada harga murah, di samping berkongsi keuntungan dengan pelanggan.

“Dengan adanya jualan seperti ini, kita ingin tunjukkan RM1 itu pun bernilai, selain ingin menggalakkan pengunjung ke cawangan baharu ini.

“Kita akan cuba lakukan di tempat lain pada masa depan,” katanya ketika ditemui sempena promosi di cawangan baharu itu, hari ini.

Mengenai pelanggan yang tidak sempat membeli stok terhad ayam pada harga RM1 itu, beliau berkata pihaknya menawarkan ayam segar pada harga RM5.99 sekilogram untuk tidak menghampakan mereka.

“Ayam segar yang dijual dengan harga RM5.99 ini boleh didapati di semua cawangan Ayam Bismi dan ditawarkan selama tiga hari sehingga Ahad ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.