MBFM Kutuk Kekejaman Ke Atas Etnik Rohingya

KUALA LUMPUR – Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya susulan serangan terhadap pasukan keselamatan Myanmar di utara Rakhine, baru-baru ini.

Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hasan dalam kenyataannya hari ini berkata, MBFM mengecam dan membantah tindakan kejam tersebut yang dilihat sebagai langkah untuk menghapus etnik minoriti Rohingya di negara itu.

Untuk itu, MBFM mahukan langkah bagi menyelamatkan etnik Rohingya diambil atas dasar mengekalkan keamanan dan kedamaian selain mengiktiraf etnik Rohingya dan diberikan hak warganegara Myanmar.

“MBFM turut bersetuju dan bersama Manndzri Hj Nasib, Presiden Majlis Belia Negeri Johor untuk mendesak Majlis Belia Malaysia (MBM), Hj. Mua’amar Ghadafi agar menyuarakan nada sama kepada antarabangsa secara rasmi bahawa pendirian Belia Malaysia juga adalah tidak berbelah bahagi mahukan kedamaian dan kemanusiaan kembali di bumi Myanmar dan Rohingya.

“MBFM juga malah bersetuju dengan gesaan Malala Yousafzai Penerima Hadial Nobel Keamanan dari Pakistan yang mendesak agar penduduk etnik Rohingya diberikan hak kewarganegaraan kerana mereka ini sememangnya dilahirkan di Myanmar,” katanya.

MBFM turut melahirkan harapan agar rakyat Malaysia meneruskan doa, sokongan dan memberikan bantuan kepada etnik yang ditindas ini.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.