Pemandu Lori Maut Nahas Di NKVE

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lagi lori di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), awal pagi Jumaat.

Muhamad Haiqal Hamidan, 23, meninggal dunia di tempat kejadian selepas lori yang dipandunya merempuh belakang lori lain di Kilometer 20.9 menghala utara.

Pemandu lori yang dirempuh bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa memandu laju ketika kejadian dan hilang tumpuan sebelum kemalangan berlaku.

Beliau menambah, pemandu lori yang terselamat memandu perlahan di lorong ketiga lebuh raya.

Menurut Mohd Zani, keadaan jalan adalah baik ketika itu.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Tambah Mohd Zani, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian memandu. – THE STAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.