Tuduh FELDA Tidak Bentang Penyata Kewangan, Rafizi ‘Kantoi’

8 SEPT: Semata-mata mahu dilihat sebagai hero, Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli menuduh kerajaan menyembunyikan penyata kewangan tahunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Tanpa usul periksa, Rafizi yang sudah kerap ‘kantoi’, dalam sidang media di ibu pejabat Invoke, pada Khamis mendakwa langkah itu kononnya bagi mengelakkan ia menjadi beban politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Naib presiden PKR itu menyamakan tindakan tidak menyerahkan penyata kewangan FELDA berakhir 31 Disember 2015 dan 2016 di Dewan Rakyat dengan syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1MDB.

“Sama seperti 1MDB, sekarang ia seolah-olah sudah menjadi satu trend dan helah daripada menjadi beban politik Najib.

“Najib cuba melengah-lengahkan laporan kewangan Felda daripada dibentangkan,” katanya.

Malah, Rafizi berbangga kononnya pihaknya adalah akauntan dan boleh membuat unjuran sama ada FELDA rugi atau sebaliknya.

“Mereka lupa kami akauntan dan akan gunakan maklumat yang ada untuk membuat unjuran. Walaupun akan lari sedikit, tetapi tidak lari jauh sangat,” katanya.

Rafizi mengunjurkan FELDA akan menanggung hutang sebanyak RM12.6 bilion sehingga akhir tahun ini, termasuk RM2.22 bilion hutang baru ekoran pembelian 37% saham syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk daripada Rajawali Group, April lalu.

Beliau turut mendakwa FELDA mempunyai liabiliti semasa sebanyak RM1.7 bilion, liabiliti jangka panjang RM6.06 bilion serta hutang baru yang diambil bagi 2014 dan 2016

Malangnya, Rafizi sekali lagi kantoi.

Ini kerana penyata kewangan FELDA 2015 sudah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 April lalu.

Rakyat termasuk Rafizi boleh membacanya di dalam laman web rasmi Parlimen kerana tiada apa yang mahu diselindung oleh FELDA mahupun kerajaan.

Itu membuktikan kedua-dua pihak amat telus kecuali Rafizi yang malas menyemak sesuatu fakta terlebih dahulu tetapi memilih jalan untuk memfitnah atau menghasut.

Sebab itu, kredibiliti Rafizi terus tercemar kerana kantoi di dalam beberapa perkara yang didedahkan malah terpaksa meminta maaf dengan pihak yang beliau tuduh.

Ini semua menggambarkan soal integriti yang kerap dilaung-laungkan beliau dan PKR hanya ‘cakap tidak serupa bikin’.

Bukan Rafizi sahaja hilang integriti sebagai pakar strategi tetapi partinya juga.

Kepada Rafizi, keraplah hadir ke Dewan Rakyat untuk mengetahui apa yang berlaku, bukannya datang semata-mata untuk menghentam kerajaan atau membuat kenyataan bertujuan menghasut rakyat membenci pemimpin negara.

Cukup-cukuplah Rafizi memalukan diri sediri. – BNBBC

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.