ASNB Didik Generasi Muda Bijak Pelaburan

SEREMBAN: Kepentingan menabung dan melabur adalah pengisian penting pada program Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Palm Seremban Hotel di sini, hari ini.

Kem disertai seramai 200 murid sekolah rendah dari sekitar daerah ini dianjurkan ASNB dengan matlamat melahirkan generasi muda yang celik pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, berkata kem itu dikhususkan untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun bagi memberi pendedahan awal yang mampu mempengaruhi sikap, pandangan serta pemahaman mereka mengenai nilai wang.

“Matlamat kami ialah untuk membantu peserta kem memahami kelebihan mengurus wang dengan bijak, seterusnya menjadikannya amalan menerusi sikap berjimat cermat dan menabung,” katanya, hari ini.

Pada program itu, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil turut menceriakan peserta dalam sesi Ceria Bersama Pak Nil yang antara lain berkongsi pengalaman dan nasihat mengenai pengurusan wang bijak.

Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak dianjurkan ASNB sebanyak lima kali tahun ini iaitu di Shah Alam, Sibu, Seremban, Tawau dan Kuala Lumpur dengan pembabitan kira-kira 1,000 peserta.

Mohammad berkata, aktiviti utama kem itu ialah seminar bertajuk ‘Saya Bakal Pelabur Bijak’ dan aktiviti berkumpulan Saya Bijak Berbelanja, Kenali Risiko dan Pulangan serta ‘Instalabur’.

Mohammad berkata, menerusi aktiviti Saya Bijak Berbelanja, setiap peserta diberi elaun RM50 dan diberi masa lima minit untuk berbelanja di booth kedai buku dan kantin sekolah disediakan.

Katanya, dalam aktiviti Kenali Risiko dan Pulangan, peserta dididik setiap perbuatan dan keputusan boleh mendatangkan kesan negatif atau positif terhadap jumlah simpanan mereka, manakala melalui aktiviti ‘Instalabur’, peserta didedahkan dengan pelaburan kewangan.

Mohammad berkata, ibu bapa yang menemani anak ke program berkenaan juga diberi pendedahan melalui Seminar Pelaburan 360 Hari yang memberi penekanan mengenai perancangan kewangan, kelebihan melabur dan kaedah membina tabung pendidikan yang betul. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.