Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, masjid lama yang berusia hampir 45 tahun telah dirobohkan untuk kerja pembersihan bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, peruntukan pembinaan itu diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan mercu tanda baharu pembangunan syiar Islam di kawasan Felda Padang Piol dan Mukim Tembeling Tengah amnya.

“Masjid ini yang mampu me­nempatkan seramai 1,200 jemaah pada satu-satu masa juga telah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kita bersyukur kerana baginda berkenan dengan cadangan untuk membina masjid baharu di Felda ini bagi menggantikan bangunan lama yang tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat terutama semasa solat Jumaat,” katanya di di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Amizan, masjid baharu itu mempunyai ruang solat terbuka dan luar, dewan, menara, kubah, bilik mandi jenazah, bilik imam, stor, tandas, bilik mandi pengunjung, kemudahan tempat berwuduk, wakaf, tempat memasak, tempat letak kereta serta kelengkapan tertentu untuk keselesaan para jemaah.

Kata beliau, masjid baharu itu juga bakal menjadi transit bagi pelawat domestik dan pelancong luar yang beragama Islam kerana premis berkenaan terletak berdekatan Jalan Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan melalui laluan Felda Padang Piol.

“Projek ini menzahirkan tanggungjawab sosial dan kebajikan daripada kerajaan untuk keselesaan ahli kariah di kawasan Felda ini menunaikan ibadat serta program keagamaan khususnya melestarikan pembangunan dakwah Islamiah bagi komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Padang Piol, Zolkopli Soik berkata, pengurusan tanah rancangan ber­kenaan dan penduduk bersyukur serta berterima kasih dengan pembinaan masjid baharu tersebut.

“Sepanjang kerja pembinaan premis baharu ini, ahli kariah Felda Padang Piol akan menggunakan dewan orang ramai yang terletak berdekatan sebagai tempat ibadah sementara,” katanya. – UTUSAN ONLINE