Masjid Bukan Setakat Tempat Solat

PUTRAJAYA: Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini buat julung kalinya mengadakan program Dekati Remaja Putrajaya @ Belia Remaja Ingat Masjid (BRIM) bagi menggalakkan belia di sini terbabit dalam aktiviti masjid.

Pemangku Imam Besar MTMZA, Ehsan Mohd Hosni, berkata program kayuhan basikal itu menekankan kesedaran dalam kalangan remaja mengenai peranan luas institusi masjid yang tidak hanya terhad sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadat solat.

“Masjid bukan tempat solat sahaja tetapi mencakupi pelbagai aspek seperti penganjuran program seperti ini dan aktiviti kemasyarakatan yang lain juga.

“Selain aktiviti kayuhan ini, kita selitkan juga dengan ceramah kesedaran tentang perpaduan kaum, Hari Malaysia dan pembentukan Malaysia,” katanya kepada BH selepas merasmikan program itu di MTMZA di sini, hari ini.

Melalui program itu, seramai 30 peserta berbasikal sejauh 17 kilometer di sekitar Putrajaya.

Seorang peserta, Irfan Ros Azmir, 18, berkata program itu dapat memberikan kesedaran kepadanya tentang kepentingan menjaga kesihatan.

“Walaupun sudah beberapa kali menyertai aktiviti berbasikal ini, inilah kali pertama aktiviti tazkirah agama diberikan kepada peserta ketika ‘checkpoint’ bagi memberikan maklumat kepada peserta,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.