Alat Machine Sealer Di HSA Terbakar

JOHOR BAHRU: Alat ‘machine sealer’ di Bilik Packing Dewan Bedah Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar semalam, namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kejadian pada 3.50 petang itu disedari seorang jururawat.

“Jururawat berkenaan ternampak api terpercik keluar daripada ‘machine sealer’ itu. Tindakan pemadaman api dilakukan serta-merta mengikut protokol sedia ada dan api dapat dipadamkan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan di sini Ahad.

Ayub berkata alat machine sealer digunakan pada setiap syif bertujuan membungkus peralatan pembedahan sebelum dihantar ke Central Sterile Service Unit (CSSU) untuk disterilkan.

Beliau berkata tiada kawasan atau alatan lain terlibat dalam insiden terpencil itu dan panggilan bomba kemudian dibuat bagi bantuan kecemasan serta pemeriksaan lanjut.

Menurutnya pasukan bomba tiba pada 4 petang dan menasihati supaya kawasan kejadian dikuarantin terlebih dahulu sehingga siasatan lanjut dijalankan.

Katanya sebagai langkah keselamatan, empat dewan bedah berdekatan turut ditutup buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, perkhidmatan pembedahan yang sudah dirancang masih diteruskan seperti biasa menggunakan dewan bedah lain dan prosedur pembungkusan peralatan pembedahan masih boleh dijalankan dengan menggunakan machine sealer lain.

“Kesemua dewan bedah mula beroperasi semula pagi ini,” katanya. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.