Pelajar Sekolah Agama Lemas Ditemui

PUTRAJAYA: Mayat seorang pelajar lelaki sebuah sekolah agama yang lemas setelah tergelincir di Pantai Bagan Lalang petang Sabtu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada kira-kira pukul 4.38 petang Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maariff ketika dihubungi berkata, mangsa, Muhammad Farhan Zailani, 15, dari Sekolah Menengah Agama Haji Muhamad Negeri Sembilan dijumpai tersangkut pada pokok bakau, 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada pukul 4.55 petang dan dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” kata Azrul Faizal.

Allahyarham yang menyertai kem motivasi di pantai itu dilaporkan hilang dibawa arus pada pukul 5 petang Sabtu ketika sedang berjalan di tepi pantai yang juga berhampiran kawasan memancing ikan, katanya.

“Ketika kejadian, dia bersama seorang lagi rakannya keluar daripada kumpulan program perkhemahan berkenaan yang disertai 82 pelajar, dan dia tiba-tiba tergelincir ketika melalui kawasan kejadian,” tambah Azrul Faizal.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat disertai 40 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.