443,794 Calon Duduki UPSR Hari Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 443,794 calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bermula hari ini sehingga 18 September depan.

Menurut laman web Kementerian Pendidikan, daripada jumlah itu, seramai 433, 536 calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 10,258 calon sekolah swasta.

Sebanyak 8,805 pusat peperiksaan dibuka membabitkan 51,363 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Di Perlis, seramai 3,794 murid tahun enam di negeri ini mula menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 78 pusat peperiksaan hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Izmi Ismail, berkata jumlah itu meliputi 3,514 murid di Sekolah Kebangsaan (SK), 277 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan tiga murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Daripada jumlah itu lima pelajar terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana masalah kesihatan serta ada yang terbabit dalam kemalangan. Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan terhadap murid yang menduduki UPSR di SK Stella Maris, di sini, pagi tadi.

Izmi bekata, pihaknya juga membuat persediaan Op Payung sekiranya berlaku banjir.

“Di Perlis, kita pernah menghadapi situasi banjir ketika UPSR pada 2011, jadi langkah-langkah persediaan sentiasa diutamakan.

“Setakat pagi ini, keadaan di Perlis adalah baik kerana tiada situasi banjir dilaporkan. Selain memantau situasi semasa, kita juga menitikberatkan keadaan calon supaya kesemua mereka dapat hadir menduduki peperiksaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.