Lelaki Cuba Pecah Tabung Masjid IPK Diburu

ALOR SETAR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa cuba mencuri tabung derma di masjid ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri di sini.

Menurut sumber, insiden tersebut berlaku pada Khamis lalu apabila seorang imam berusia 32 tahun tiba di masjid itu pada kira-kira pukul 6.15 petang.

“Bila imam masuk ke dalam masjid, dia terdengar bunyi bising dan mendapati seorang lelaki cuba memecah mangga peti derma.

“Suspek bergegas keluar dan melarikan diri dengan motosikal melalui pintu belakang IPK. Lelaki itu meninggalkan beg yang mengandungi pelbagai peralatan,” katanya sambil menambah bahawa CCTV merakamkan tindakan suspek.

“Tiga kes kecurian berlaku di masjid itu sebelum pemasangan CCTV,” katanya.

Sumber tersebut turut mengatakan bahawa salah seorang ahli jawatankuasa masjid telah menangkap gambar suspek sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail berkata, mereka menerima laporan berhubung insiden itu.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk tanpa kecurian,” katanya. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.