#SayangMalaysia Bantu Perkenal Keunikan Malaysia Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggunakan platform media sosial dalam usaha memperkenalkan kepelbagaian budaya dan keunikan di negara ini melalui Kempen Media Sosial terbaharu, #SayangMalaysia.

Pegawai Petunjuk Prestasi Utama merangkap Ketua Sekretariat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kementerian, Kartini Karim berkata kempen tersebut yang telah diperkenalkan sejak Mac lepas merupakan salah satu usaha menyokong Kempen Melawat Malaysia.

“Kempen Media Sosial #SayangMalaysia ini telah menarik kehadiran ramai pelancong asing ke negara ini termasuklah penulis blog bebas dari pelbagai negara yang ingin membuat ulasan mengenai tempat menarik dan bersejarah, makanan, kebudayaan dan kepelbagaian kaum di negara ini,”katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pengamal media pelancongan dan kebudayaan seluruh negara di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, semalam.

Kartini berkata ulasan berkenaan yang disebarkan di media sosial pengamal media masing-masing, secara tidak langsung telah memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia.

Sementara itu katanya, majlis makan malam yang menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan dan keunikan dari warga kementerian pada malam semalam memberi pengalaman tersendiri kepada pengamal media asing berkenaan dan dapat disebarluaskan kepada rakyat negara mereka melalui media sosial. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.