Tindakan Mohd Yusuf Selamatkan Pelajar Banggakan Keluarga

SUNGKAI – Tindakan Allahyarham Mohd Yusuf Md menyelamatkan pelajarnya yang terperangkap dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur nyata membanggakan anggota keluarganya.

Kakak ketiganya, Norazni Md, 37, berkata pengorbanan Mohd Yusuf yang sanggup membahayakan nyawa sendiri sememangnya diluar jangkaan mereka semua.

Beliau berkata ibunya Saadiah Othman, 62, juga sangat tenang dan reda ketika mengetahui perkhabaran pemergian adiknya itu.

“Dia pergi dalam keadaan paling baik, nak selamatkan nyawa orang,” katanya ketika ditemui bersama-sama keluarganya pada majlis Tahlil di kediaman mereka di Felda Besout di sini, malam ini.

Allahyarham Mohd Yusuf, 26, yang juga warden dan tenaga pengajar di tahfiz itu, merupakan anak kelapan daripada 10 beradik.

Norazni berkata anggota keluarganya mengetahui tentang kebakaran pusat tahfiz itu pada 7 pagi tadi namun, mereka tidak dimaklumkan keadaan Mohd Yusuf pada ketika itu.

Beliau berkata abang sulungnya Noorazam, 40, yang menetap di Kuala Lumpur, pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk memeriksa dan diberitahu nama adiknya tiada dalam senarai mangsa selamat.

“Bila Abang Long mengesahkan Abang Chik terkorban, ibu menitiskan air mata dan dia tenang dengan pemergian adik kami,” katanya sambil memberitahu bahawa allahyarham adiknya adalah seorang yang periang.

Allahyarham Mohd Yusuf, yang masih bujang, belajar di pusat tahfiz tersebut sejak berusia 15 tahun dan kemudian berkhidmat sebagai guru dan warden di pusat sama. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.