Bayi Diselamatkan Anak Naib Pengetua Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR: Bayi perempuan yang diselamatkan dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, awal pagi semalam, adalah anak kepada naib pengetua tahfiz berkenaan.

Perkara itu disahkan Muhammad Umai Mohd Gunawan, seorang daripada empat tenaga pengajar yang berada di tingkat dua bangunan terbabit ketika kejadian.

Muhammad Umai berkata, naib pengetua pusat tahfiz berkenaan berada di Tanah Suci ketika ini manakala keluarganya merangkumi isteri, adik ipar dan empat anak perempuan tinggal bersebelahan asrama pelajar tahfiz terbabit di tingkat tiga.

“Saya ada dengar bayi perempuan itu diselamatkan seorang pelajar tahfiz berkenaan.

“Ahli keluarga lain dibawa turun oleh Jabatan Bomba tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui BH di pusat tahfiz berkenaan, hari ini.

Ditanya mengenai kemunculan tong gas di hadapan pintu asrama pelajar di tingkat tiga, Muhammad Umai menafikan perkara dan menegaskan tiada unsur mencurigakan sebelum kebakaran berlaku.

“Saya membuat semakan pelajar kira-kira jam 2 pagi semalam. Saya ke tandas di tingkat tiga dan tutup pintu asrama seperti biasa.

“Saya tak nampak tong gas seperti diperkatakan pihak bomba ketika menyiasat insiden berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.