Henti Cari Salah Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah pihak mendakwa pusat tahfiz tidak mementingkan ciri keselamatan pelajar dan pengajar amat mengecewakan.

Pengerusi Persatuan Tahfiz Negeri Sembilan merangkap ahli jawatankuasa promosi dan publisiti kebangsaan, Mohd Ali Abdul Kadir, berkata pihaknya mengutamakan keselamatan setiap penghuni pusat tahfiz.

“Kita mengambil berat soal keselamatan pelajar dan pengajar, malah kita banyak anjurkan program berkaitan keselamatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.

“Dakwaan sesetengah pihak kononnya kita tidak mementingkan keselamatan tidak sepatutnya berlaku. Ia amat negatif dan cuba menuding jari mencari pihak yang boleh dipersalahkan,” katanya ketika ditemui BH di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, hari ini.

MOHD Ali Abdul Kadir.

Mohd Ali berkata, apa yang sepatutnya dilakukan adalah mengambil iktibar tragedi berkenaan dan tampil membantu pusat tahfiz yang mengalami kekangan kewangan.

“Memang ada pusat tahfiz agak daif, masyarakat perlu ada sifat ingin membantu memudahkan segala urusan berkaitan pusat tahfiz.

“Kalau banyak pihak yang tampil memberikan bantuan dalam memudahkan setiap perkara berkaitan isu keselamatan, saya percaya selepas ini pusat tahfiz akan dapat beroperasi dengan baik,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.