Solat Jenazah Mangsa Kebakaran Tahfiz Di Masjid HKL

KUALA LUMPUR – Solat jenazah ke atas semua 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dijangka dilangsungkan di Masjid Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik sahaja proses padanan DNA selesai hari ini.

Menurut sumber HKL, persiapan kini berlangsung bagi membolehkan pengurusan jenazah berjalan lancar termasuk membawa jenazah ke tanah perkuburan selepas proses DNA untuk pengesahan identiti mangsa selesai di hospital itu, dijangka petang ini.

Sumber itu berkata semua jenazah mangsa akan dimandikan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menggunakan kaedah tayamum dan dikafankan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu kesemua 23 van jenazah yang akan membawa jenazah mangsa ke lokasi pengebumian telah tiba di perkarangan IPFN.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata 12 daripada 23 mangsa kebakaran akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, di sini.

Dalam kejadian 5.15 pagi semalam, 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan pusat tahfiz tiga tingkat di Jalan Keramat Hujung berkenaan.

Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.