25 Pusat Tahfiz Terengganu Belum Berdaftar

KUALA TERENGGANU: Terdapat 25 institusi pondok dan tahfiz di Terengganu masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Beliau berkata jumlah itu bagaimanapun agak kecil berbanding 81 institusi pondok dan tahfiz yang telah berdaftar dengan JHEAT dan menikmati pelbagai kemudahan daripada  kerajaan pusat dan kerajaan negeri selama ini.

“Sebahagian daripada  25 institusi pondok dan tahfiz ini telah menghantar permohonan kepada JHEAT namun belum mendapat kelulusan kerana masih banyak perincian tidak lengkap antaranya perakuan status tanah mengikut perundangan dan kelayakan tenaga pengajar.

Mungkin ia kelihatan perkara remeh tetapi sangat penting bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa akan datang terutama di kalangan waris (jika tanah wakaf) dan silibus pembelajaran bagi memastikan ia adalah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahfiz Darul Hijrah dekat Chendering di sini yang merupakan satu daripada 25 institusi yang masih belum berjaya mendapat kelulusan dari JHEAT. – Sinar Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.