Kaji Semula Pengisian Program Kerohanian Untuk Golongan Muda

SEMPORNA – Penahanan tujuh suspek remaja berhubung insiden kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifiqayah di Kuala Lumpur sehingga meragut 23 nyawa, Khamis lepas, memberi mesej kepada semua agar pengisian program kerohanian untuk golongan muda di negara ini perlu dikaji semula, kata Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ramlee Marahaban.

Katanya, perkara itu perlu kerana melihat nilai-nilai moral dalam diri anak muda semakin hilang sekali gus membawa impak negatif termasuk keruntuhan akhlak.

“Kita perlu merujuk dan perhalusi kembali pelaksanaan program sedia ada untuk golongan muda khususnya program kerohanian, ini supaya kita boleh perbaiki dan memantapkan impak positif diterima anak muda kita.

“Saya berharap perkara yang dilakukan tujuh remaja yang disyaki membakar pusat tahfiz itu adalah perkara terpencil dan tidak menular dan menjadi ikutan kepada golongan muda lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pengurusann jenayah anjuran Yayasan Sabah Zon Pantai Timur Selatan, di sini, hari ini.

Susulan tragedi kebakaran itu, katanya, masyarakat tidak perlu menuding jari dan mencari salah siapa, tetapi penting semua pihak mengembleng usaha memastikan nilai moral anak muda diperkasakan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.