Mahu Jumpa & Nasihat 7 Suspek

SUNGKAI: Keluarga Mohd Yusuf Md, yang maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, Khamis lalu, memaafkan tujuh remaja yang dipercayai bertanggungjawab membakar bangunan asrama pusat tahfiz itu sehingga mengorbankan 23 penghuninya.

Malah, abang Mohd Yusuf, Nor Azam, 42, berkata jika diberi peluang, beliau mahu berjumpa dengan tujuh remaja berkenaan untuk memberi nasihat supaya mereka segera insaf.

“Saya secara peribadi memaafkan remaja yang disyaki terbabit kerana mungkin mereka hanya hendak menakutkan atau gertak sahaja.

“Kemungkinan mereka tiada niat untuk melakukan perkara itu sampai ke tahap ini (membunuh penghuni asrama) tetapi tersilap langkah.

“Saya selaku waris memaafkan mereka serta berharap ia dijadikan pengajaran kepada remaja yang lain.

“Jika diberi peluang, saya ingin berjumpa untuk memberi nasihat, bukannya memarahi kerana mereka belum lagi matang dalam membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis tahlil di rumah ibunya, Saadiah Othman, 64, di FELDA Besout 4, dekat sini, hari ini.

Kira-kira 100 keluarga dan penduduk FELDA berkenaan menghadiri majlis yang diadakan pada jam 11 pagi tadi.

Mohd Yusuf, 26, yang menjadi tenaga pengajar di pusat tahfiz itu bersama seorang lagi guru serta 21 pelajar maut dalam kebakaran itu.

Nor Azam berkata, beliau mengetahui pembabitan tujuh remaja berusia 11 tahun hingga 18 tahun itu melalui media sosial dan menonton siaran langsung sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh, di televisyen malam tadi.

Katanya, sebelum ini pun ketika melawat tempat kejadian dan berdasarkan pengalamannya pernah terbabit dengan kebakaran di asrama ketika belajar, beliau mengesyaki sesuatu tetapi hanya mendiamkan diri dan tidak menyuarakan perkara berkenaan kepada sesiapa.

“Perasaan syak saya akhirnya terjawab dengan berita penahanan tujuh remaja itu,” katanya.

Beliau juga menyatakan perasaan terkilan dengan berita serta pandangan pelbagai pihak yang mengaibkan pusat tahfiz itu.

Katanya, sepanjang arwah berada di situ sebagai tenaga pengajar, tidak pernah ada perkara yang tidak baik berlaku di premis berkenaan.

Katanya, berita dan pandangan negatif itu mengguris hati waris terbabit dan berharap ia dihentikan demi kebaikan bersama.  – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.