Sukan: Prestasi Lemah Punca Kekalahan Felda United

MARAN – Kekalahan 1-3 Felda United kepada PKNP FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak di sini malam tadi berpunca daripada kelemahan para pemain dan bukan kesilapan taktikal.

Ketua jurulatih Felda United B Satiananthan yang mengakui perkara itu berkata antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kawalan bola yang lemah, hantaran tidak tepat dan gagal mengekang gerakan pemain lawan sehingga menyebabkan skuad kendaliannya sukar bermain seperti dirancang.

Beliau juga mengakui pemain PKNP menunjukkan kawalan bola, hantaran dan penyudah di hadapan gol yang sangat berkesan sepanjang perlawanan berlangsung.

“Separuh masa pertama mereka bermain dengan agresif hingga pemain saya tidak dapat menyaingi taktikal yang digunakan, cuma pada separuh masa kedua pemain kami dilihat mampu untuk bangkit tetapi banyak peluang disia-siakan.

“Secara keseluruhan, kami gagal menyaingi keupayaan PKNP ketika pertahanan satu lawan satu, mental juga tidak kuat menyebabkan kami ketinggalan dua gol pada babak pertama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.