Tolak Tawaran Kerana Produksi Tak Serius

KUALA LUMPUR: Dalam kalangan penggiat seni, Beto Kusyairy, 37, dikenali sebagai artis berprinsip dan serius ketika bekerja.

Malah, Beto tidak pernah menganggap populariti sebagai suatu keperluan yang perlu dikejar.

Tidak hairanlah, selain skrip bermutu, Beto menilai pasukan produksi yang bakal mengendalikan kerja penggambaran. Ini bagi memastikan dia tidak tersilap membuat keputusan menerima tawaran berlakon.

“Mungkin apabila kita bercakap mengenai selektif, orang fikir kita bagus sangat. Tetapi, itulah cara saya bekerja sejak dulu lagi.

“Saya terpaksa bersikap memilih kerana tidak mahu terjebak dengan pelbagai masalah remeh di lokasi,” katanya kepada BH Online.

Beto yang sudah 10 tahun menjadi anak seni, mengaku suka bekerja dengan kru yang serius di lokasi. Ini disebabkan baginya, set penggambaran bukanlah tempat untuk belajar.

“Bekerja ialah tanggungjawab. Jadi laksanakanlah amanah yang diberi sebaik-baiknya. Apabila semua orang serius di lokasi, barulah ia akan memberikan hasil yang terbaik.

“Kita mencari rezeki. Jadi kita tak boleh nak main-main. Datang set tanpa persediaan dan tak berdisiplin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Beto atau nama penuhnya, Nurkusyairy Zakuan Osman teruja filem lakonannya, Bisik Pada Langit akan menemui penonton, Khamis ini.

Dalam filem yang dibintangi Jalil Hamid dan Ummi Nazeera itu, Beto memegang watak sebagai Zaidi.

“Filem ini tidak harus dilepaskan kerana datang dengan pakej lengkap iaitu jalan cerita hebat selain pengarah dan barisan pelakon yang serius dengan kerja mereka.

“Ia memaparkan kisah kekeluargaan yang sangat menyentuh hati. Zaidi ialah abang sulung daripada tiga beradik yang perlu berdepan dengan kerenah bapa yang dilakonkan Jalil dengan berkesan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.