BAM Terima Peletakan Jawatan Frost

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan hari ini apabila mengumumkan peletakan jawatan pengarah teknikal badan induk itu, Morten Frost.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) membuat pengumuman itu selepas satu perjumpaan di antara mereka di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Menurut Norza, jurulatih berusia 59 tahun dari Denmark itu menyerahkan surat peletakan jawatan pada Isnin (11 September), dengan menyatakan alasan masalah peribadi.

“Adalah dengan berat hati saya mengumumkan bahawa BAM menerima peletakan jawatan Pengarah Teknikal Morten Frost.

“Pengurus Besar BAM (Michelle Chai) akan berbincang lebih lanjut dengannya (Frost), tetapi buat masa ini lima ketua jurulatih akan berada di bawah C&T.

“Michelle juga akan bekerjasama lebih erat dengan ketua jurulatih untuk memberi sokongan kepada sistem ini,” kata Norza.

Lima ketua jurulatih ketika ini adalah Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran).

Beberapa siri keputusan mengecewakan (Kejohanan Dunia di Glasgow, Sukan SEA Kuala Lumpur dan Piala Sudirman pada Mei) dipercayai memberi kesan kepada keputusan Frost untuk melepaskan jawatannya.

Perkara lain yang turut dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk untuk memisahkan gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pengenalan kepada sistem ganjaran baharu untuk pemain.

V Shem-Wee Kiong yang mempamer prestasi kurang memberangsangkan tahun ini akan diuji oleh pemenang pingat perak KL2017, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di Terbuka Perancis dan Terbuka Bitburger, bulan depan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.