“Jijik… Malulah Kepada Allah,” Tegur Azza

PELAKON dan penyanyi Azza (Elite) memberi amaran kepada mana-mana individu yang tergamak menulis komen berbaur lucah di laman Facebook miliknya supaya menghentikan perbuatan itu.

Azza, 39, berkata, tindakan biadab individu tersebut bukan sahaja menganggu dirinya malah turut memberi kesan kepada pengikut dan pelanggannya.

“Saya sebagai artis menggunakan Facebook untuk berinteraksi dengan peminat dan berniaga, jadi tolong hormati ruangan peribadi saya.

“Pengikut saya juga terdiri daripada pelbagai golongan termasuk kanak-kanak, jadi komen sebegitu amat tidak dialu-alukan,” ujarnya kepada mStar Online.

Azza diminta pendapatnya berhubung tindakan dia memuat naik cetakan skrin di Instagram miliknya mengenai perbuatan seorang individu pada Ahad lalu yang meninggalkan komen lucah.

Azza berkongsi paparan skrin individu yang menghantar mesej lucah kepadanya.

Sehubungan itu Azza bertindak berkongsi akaun individu berkenaan bagi membolehkan peminatnya menghantar report ke Facebook agar akaun palsu berkenaan disekat.

Menurut Azza, sebagai seorang wanita dia amat tidak selesa dan berasa jijik dengan komen-komen sedemikian.

Ujarnya, individu tersebut mungkin beranggapan dia seorang yang kelakar seperti ditonton di televisyen namun individu itu silap.

“Dia fikir saya nampak kelakar dalam TV, dia boleh bergurau hantar komen-komen lucah?

“Kalau tak malu pada saya sekalipun, tolong malu kepada Allah,” ujarnya lagi.

Azza berkata, ini bukanlah kali pertama dia menerima gangguan sebegitu.

Sebelum ini, terdapat seorang individu yang pernah menghantar pesanan lucah kepadanya namun sudah membuat permohonan maaf. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.