Mat Taib Sedar Pejuangan Pembangkang Sia-sia

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak seharusnya memandang sepi kenyataan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyatakan perjuangan pembangkang sebagai sia-sia dan tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, menjelaskan kenyataan itu dizahirkan beliau atas pengalamannya ketika bersama PKR dan PAS sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, tindakan Muhammad; bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman dan Pengasas PPBM, Anina Saadudin daripada parti pembangkang jelas menunjukkan wujud masalah dalaman yang serius dalam parti itu.

“Penyertaan semula Muhammad sememangnya memberi tamparan hebat buat pembangkang yang sehari sebelum itu dikejutkan dengan tindakan Pengasas PPBM iaitu Anina, diikuti pula oleh Hamidah,” katanya.

Beliau menjelaskan,  pengalaman luas dimiliki Muhammad dalam UMNO sebelum ini sudah tentu mampu membantu parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 terutamanya bagi Selangor, selain pengetahuannya mengenai keburukan pembangkang, yang akan memberi kelebihan buat UMNO.

Muhammad sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan Naib Presiden UMNO.

Beliau membuat keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PAS pada tahun 2013. Muhammad kemudiannya menyertai PKR pada 2015. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.