Maut Di ‘Rumah Hantu’

SEORANG lelaki berusia 21 tahun maut di ‘rumah hantu’ di sebuah taman hiburan di Hong Kong, kata pegawai pengurusan taman hiburan itu.

Katanya, mangsa maut selepas terkena keranda yang sedang bergerak.

Lelaki yang dikenali sebagai Cheung itu dilanggar sebuah keranda pada Sabtu lalu di tarikan ‘Buried Alive’ di Ocean Park di Hong Kong.

Cheung ditemui tidak sedarkan diri selepas lima minit dia memasuki rumah tersebut.

Ketua eksekutif Ocean Park, Matthias Li pada Sabtu menyatakan rasa dukacita terhadap tragedi tersebut.

Tarikan ‘Buried Alive’ merupakan sebahagian daripada festival yang bertemakan Halloween di Ocean Park, berlangsung dari 5 sehingga 31 Oktober.

Menurut laman web taman hiburan itu, pengunjung akan merasai pengalaman ditanam hidup-hidup seorang diri, sebelum cuba untuk mencari jalan keluar dari kubur yang gelap dan menakutkan.

Kerajaan Hong Kong berkata, Cheung dipercayai memasuki rumah itu dengan selamat tetapi merayau-rayau di kawasan larangan sehingga terkena bahagian operasi mekanikal.

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. – Mail Online

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.